Kerap kali rakyat
Malaysia ditekankan tentang kesan-kesan subsidi dalam sektor tenaga
terhadap ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Sebagai rakyat yang majoritinya berpendidikan sama ada diperingkat sekolah atau peringkat universiti,
kebimbangan terhadap kebergantungan terhadap subsidi boleh difahami namun
persoalannya ialah, adakah semua pilihan dan langkah-langkah yang boleh
dilaksanakan telah dipertimbangkan sehalus-halus sebelum tindakan pengurangan
subsidi dilaksanakan demi kebaikan ekonomi negara?
Untuk memperbaiki ketirisan
dan kelemahan-kelemahan kerajaan dalam proses-proses pentadbiran dan operasi adalah lebih sukar tetapi untuk mengatasi
pembaziran wang ketika mengggunakan tenaga secara membazir atau tidak cekap
tenaga adalah sesuatu yang lebih praktikal untuk diperbaiki dalam tempoh masa
yang dirancangkan.
Setiap unit tenaga
yang dijimatkan akan menjadi satu unit RM yang menjadi pendapatan dan boleh
dibelanjakan untuk pelbagai tujuan lain. Selain daripada itu, setiap unit
tenaga yang dijimatkan juga akan menjimatkan satu unit RM jumlah subsidi yang
perlu ditanggung oleh kerajaan atau dalam erti kata lain, lebih banyak
penjimatan, lebih kurang perbelanjaan oleh kerajaan untuk subsidi bahan api.
Berikut adalah
intipati dan ringkasan maklumat yang dibentangkan oleh pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
(KeTTHA)pada seminar anjuran MASHRAE pada 25 April 2013 di Kuala Lumpur.
Ringkasan daripada
apa yang dibentangkan ialah:
- Pelan Induk Kecekapan Tenaga Nasional ialah satu pelan induk untuk menjimatkan penggunaan tenaga negara dalam tempoh 10 tahun;
- Sasaran yang ditetapkan ialah untuk mengurangkan penggunaan tenaga negara sebanyak 5.6% (tahun perbandingan tidak dinyatakan);
- Jumlah penjimatan kewangan yang boleh dicapai dari segi bil elektrik ialah sebanyak RM14.627 billion ringgit(secara purata RM1.46 billion setahun). Saya menjangkakan kiraan adalah berdasarkan kadar tarif elektrik sekarang. Penjimatan akan lebih banyak jika kadar tarif elektrik naik pada masa akan datang;
- Pelan induk tersebut akan menumpukan kepada tiga sektor utama iaitu industri, bangunan dan kelengkapaan elektrik;
- Hanya sebanyak RM987 juta diperlukan dalam tempoh masa 10 tahun tersebut iaitu sebanyak RM98.7 juta setahun sahaja.
Dalam jawapan
kepada soalan di Parlimen pada bulan Jun 2013 mengenai status pelan tindakan
tersebut, berikut ialah jawapan pihak KeTTHA sekali lagi secara ringkas:
- Dasar kecekapan tenaga nasional yang dirangka melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional atau National Energy Efficiency Master Plan(NEEMP), dengan izin kini dalam peringkat semakan akhir. Pelan tindakan ini akan diangkat untuk kelulusan oleh kerajaan selewat-lewatnya sebelum penghujung suku ketiga tahun ini(2013)
- Pelan tindakan yang dirangka untuk tempoh sepuluh tahun ini merangkumi tiga sektor iaitu industri, komersil dan perumahan dan sasaran penjimatan tenaga elektrik dalam pelan tindakan ini jika dipecahkan mengikut jangka masa pendek iaitu 3 tahun sebanyak 2,774GigaWattjam(GWj), jangka sederhana iaitu 6 tahun sebanyak 14,840GWj dan jangka panjang 10 tahun sebanyak 50,594 GWj;
- Penjimatan yang disasarkan oleh Pelan Tindakan tersebut bernilai RM14.6 billion berdasarkan kadar tariff elektrik semasa;
- Pelan tindakan ini juga disasar dapat mengurangkan permintaan bekalan elektrik sebanyak 5.6% pada akhir tahun ke-10;
- Pengurangan ini dapat menanggguhkan keperluan untuk membina janakuasa baru yang dianggarkan dalam lingkungan 3,600 Mega Watt(3.6GW).
Manakala berikut
pula ialah ringkasan maklumat yang
dibentangkan oleh pihak KeTTHA pada bulan Mac tahun 2011 ketika sesi bengkel
untuk membincangkan Terms of Reference
untuk menggubal akta kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga di Hotel Marriot Putrajaya yang dihadiri oleh
pelbagai agensi, para profesional dan pakar serta pemain-pemain industri.
Maklumat yang sama juga dikongsi sekali lagi pada bengkel dan seminar
penggubalan akta yang sama pada bulan November 2011 di Hotel Palace of Golden
Horses, Serdang.
Dengan
melaksakankan p elan induk kecekapan tenaga, tambahan penjimatan selain daripada
penjimatan daripada bil elektrik dalam tempoh 10 tahun ialah seperti berikut:
- Kos pembinaan janakuasa baru sebanyak sehingga RM16.6 billion boleh dielakkan
- Penjimatan kos bahan api untuk penjanaan tenaga elektrik sebanyak RM22.8 billion untuk gas dan RM1.4 billion untuk arang batu;
- Penjimatan perbelanjaan kerajaan untuk kos subsidi gas sebanyak RM15.87billion
- Jumlah penjimatan yang boleh dicapai juga boleh mengelakkan penjanaan kapasiti tenaga baru yang diramalkan diperlukan sebanyak lebih kurang 3.6GW menjelang tahun 2020 oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif.
Rakyat Malaysia
juga sering dimomokkan beberapa tahun kebelakangan ini dengan keperluan
Malaysia untuk mempertimbangkan
penjanaan tenaga dengan sumber nuklear
dan pada masa yang sama loji-loji janakuasa yang baru diluluskan untuk dibina.
Pada masa yang sama langkah-langkah yang strategik untuk melaksanakan dasar
kecekapan tenaga negara yang akan meminimumkan pembaziran sumber-sumber tenaga
dengan penggunaan yang lebih cekap oleh para pengguna masih tidak diberi
perhatian yang sewajarnya.
Negara Thailand
telah berjaya mengurangkan permintaan tenaga negara sebanyak lebih daripada 15%
dalam tempoh 10 tahun yang lepas manakala negara Jepun telah berjaya
mengurangkan permintaan tenaga sebanyak lebih kurang 30% daripada tahun 1970-an
dengan melaksanakan dasar kecekapan tenaga dan penggubalan dan pelaksanaan
undang-undang kecekapan tenaga terutamanya
untuk para pengguna tenaga intensif seperti di sektor-sektor industri dan bangunan.
KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, impak penjimatan kos tenaga daripada pelaksaaan pelan induk
kecekapan tenaga dalam masa 10 tahun berdasarkan kadar tarif elektrik sekarang
ialah penjimatan kos tenaga sebanyak RM30.497 billion melalui penjimatan bil
elektrik sebanyak RM14.627 billion dan penjimatan
subsidi gas untuk loji janakuasa baru
sebanyak RM15.87 billion masing-masing.
Sementara itu dalam
tempoh masa yang sama, perbelanjaan yang boleh dielakkan oleh syarikat
penjana-penjana tenaga seperti TNB dan Penjana Bebas Swasta ialah sebanyak sehingga RM16.6 billion untuk pembinaan loji-loji janakuasa
baru dan sebanyak RM22.8 billion untuk gas
dan RM1.4 billion untuk arang batu bagi kos-kos bahan api untuk penjanaan.
Jadi, jumlah
keseluruhan penjimatan atau impak yang boleh dicapai ialah sebanyak lebih
kurang RM71 billion dalam tempoh 10
tahun di mana kerajaan hanya perlu membelanjakan sebanyak rm987 juta sahaja
dalam tempoh masa yang sama.
Secara purata,
jumlah wang yang boleh dijimatkan setiap tahun dalam tempoh 10 tahun tersebut
ialah sebanyak lebih kurang RM7 billion dan akan menjadi lebih banyak sekiranya
kadar tarif elektrik dan harga bahan api seperti gas dan arang batu naik dalam
tempoh masa yang sama.
Cuba sama-sama kita
bayangkan berapa banyak perkara yang boleh dilakukan dengan jumlah tersebut di
mana salah satu daripadanya, kerajaan tidak perlu menaikkan kadar tarif
elektrik atau kenaikan hanya pada kadar paling minimum agar tidak membebankan
rakyat Malaysia.
APA SEBENARNYA?
Pihak kerajaan
seolah-olah tidak mempertimbangkan langsung dapatan daripada kajian yang telah
dijalankan oleh kerajaan sendiri melalui KeTTHA dalam dasar-dasar tenaga yang
akan datang di mana masih terdapat pilihan-pilihan yang lebih praktikal dengan
kos yang perlu dibelanjakan oleh pihak kerajaan yang lebih murah iaitu kurang
daripada RM1 billion dalam 10 tahun berbanding berbillion yang
dibelanjakan setahun untuk subsidi
sektor tenaga dan pengguna.
Antara perkara yang
paling mengecewakan JUGA ialah pihak KeTTHA telah pun membelanjakan sebanyak
hampir RM2 juta untuk menjalankan kajian dan menyediakan pelan tindakan
tersebut sejak tahun 2009 dan telah selesai dalam tahun 2011 namun masih
berdolak-dalih untuk memanjangkan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan.
Selain daripada
itu, pihak KeTTHA juga telah mengenepikan langsung hampir semua pendapat dan
pandangan daripada semua pihak yang pernah terlibat dalam kajian dan
pembangunan pelan tindakan tersebut dengan tidak memberi ruang untuk
perbincangan secara objektif dan terperinci atau menjawab persoalan-persoalan
yang dikemukakan secara rasmi dan tidak rasmi.
Kenapa masih
bertangguh?
Apakah ada agenda
yang rakyat Malaysia tidak tahu tentang sikap pihak kementerian
bertanggungjawab yang asyik berdolak-dalih tentang pelan induk kecekapan tenaga
negara tersebut?
Kenapa masih bertangguh
bila ia melibatkan kepentingan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta negara?
No comments:
Post a Comment